April 8, 2011

Entri Khas Sempena Hari Lahir Ayah.

Selang satu hari saja lagi untuk aku menghadapi kertas pertama final exam untuk semester 4. Aku hampir bersedia dengan kertas Etika Profesional dan Moral tapi mungkin tidak cukup lagi. Takpe, kita tinggalkan sebentar debaran untuk menjawab final exam kali ini. Bukan pasal final exam yang nak aku ceritakan dalam entri kali ni tapi tentang hero hati aku, ayah aku.

8 April 1957 tarikh ayah dilahirkan dan kini ayah berusia 54 tahun. Ayah pernah cerita yang beliau dilahirkan awal dari tarikh tersebut tapi memandangkan ayah duduk di kampung dan tiada kenderaan untuk arwah Atuk keluar kampung nak daftar kelahiran ayah maka ayah di daftarkan lewat dan tarikh tersebut merupakan tarikh ayah di daftarkan, bukan di lahirkan.

Namun apalah nilai yang ada pada tarikh. Pengorbanan ayah untuk kami lagi besar nilainya. Ayah bekerja seorang memandangkan mak terpaksa berhenti daripada menjadi guru kerana kami adik-beradik sudah berenam ketika itu maka mak membantu ayah dengan menjaga kami dengan baik sepanjang ketiadaan ayah di rumah. 

Banyak perkara yang buat aku rasa kadang-kadang aku tak layak jadi anak ayah.

Aku masih ingat, aku pernah menangis sebab nak ikut ayah pergi bekerja dan masa tu ayah mahu pergi kerja jauh. Aku lari kejar jeep ayah sambil menangis-nangis sebab aku memang rapat dengan ayah. Balik dari kerja lepas dah beberapa hari ayah bawa pulang teddy bear untuk aku dengan Shikin, adik aku yang bawah aku. Aku sangat gembira masa tu tapi aku tak tahu mana aku campak teddy bear tu sekarang ni.

Aku masih ingat juga, aku nak sangat minum Milo jadi aku menangis-nangis minta ayah aku bangun dan buatkan untuk aku memandangkan masa tu ayah mahu tidur lepas penat balik dari kerja. Aku paksa ayah untuk bangun tapi penampar yang aku dapat. Aku terus diam tapi mungkin ayah rasa bersalah, ayah bangun buatkan Milo dan ayah dukung aku sambil tolong aku minum Milo yang ayah buatkan. Ayah tunggu aku minum sampai habis barulah ayah sambung tidur balik.

Aku masih ingat lagi baru-baru ni, ayah minta aku cari buku yang ayah beli untuk tengok idea nak decorate rumah memandangkan abang aku nak kahwin tapi buku tu aku pinjamkan kat kawan aku dan aku tak ingat langsung buku tu kat mana. Mungkin dah pulangkan atau mungkin aku letak merata. Berkali-kali ayah minta aku cari balik dalam bilik mana tahu ada, salah letak ke tapi aku tak dengar cakap ayah. Banyak kali aku bertangguh cari dan buat alasan lain, mengelak daripada kena cari buku tu dan ayah biasanya diam, tunggu dan lihat saja gelagat aku. Akhirnya, baru-baru ni aku nampak buku tu ada dalam rak kat tepi komputer rumah. Maknanya ayah aku yang usaha cari sendiri.


Aku tak tahu kalau ayah sayang aku atau tak sebab ayah tak pernah cakap kat aku tapi aku pernah tengok ayah menangis masa hantar aku belajar kat sini. Ayah selalu tanya kalau aku masih ada duit yang cukup tak bila ayah telefon. Ayah akan mengalah kalau aku yang nak guna kereta. Ayah terpaksa akur dengan aku kalau aku mahu pergi mana-mana walaupun telah dilarang sebab tempat yang aku nak pergi tu jauh dan banyak lagi perkara-perkara lain yang ayah sanggup buat untuk aku tapi aku tak pernah nak hargai.

Aku tahu aku tak pernah nak jadi anak yang baik, yang membanggakan ayah. Hanya pentingkan diri sendiri. Tak pernah bersyukur dengan apa yang ayah bagi. Tahu minta-minta je sampai ayah terpaksa tunaikan. 

Kini, aku mahu buktikan pada ayah bahawa anak perempuan sulung ayah ni akan buat dia bangga dan insyaALLAH boleh bantu ayah nanti. Aku bangga dengan hasil didikan mak dan ayah, aku jadi seperti diri aku hari ini. Seorang yang tahu menilai baik dan buruk dan menghargai insan-insan lain. Apa yang tidak baik dalam diri aku, aku mengaku itu bukan didikan mak ayah tapi silap diri sendiri yang kurang pandai mencongak kesalahan sendiri. Semoga ALLAH meredhai perjalanan kami dunia dan akhirat.

Ya ALLAH, ampunkanlah segala dosa mak dan ayahku. Peliharalah mereka sebagaimana mereka telah memelihara aku sejak kecil lagi. Janganlah kau jadikan dosa-dosa aku sebagai bebanan mereka di akhirat nanti. Kasihanilah mereka YA ALLAH.

Amin. 

Yang pasti aku sangat sayangkan mak dan ayah dan sangat merindui mereka saat aku menulis entri.


The only man a girl can depend on is her daddy. 

No comments:

Post a Comment