Maka tamatlah sudah cuti semester 5 dan esok bermulalah semester 6 pengajian aku di universiti yang relevan, unik dan berbeza ini. Rasa macam sekejap je. Yelah, cuti pun bukannya aku duduk di rumah tapi menghabiskan masa di UMK. Bagi aku, masa belajar adalah masa terbaik untuk mengumpul pengalaman, mengasah kemahiran berdikari di tempat orang dan melakukan perkara yang tidak mungkin dapat aku lakukan apabila sudah menceburi alam pekerjaan nanti.
Menceritakan tentang detik Pertandingan Debat Piala Pantai Timur di UIAM Kuantan dan Pertandingan Debat DiRaja di USM Pulau Pinang merupakan pengalaman tidak ternilai dan tidak semua orang mampu untuk memilikinya. Melakukan pengorbanan masa, wang dan tenaga untuk perkara yang kita sukai merupakan satu kepuasan kepada diri aku. Biarlah mereka kata aku bodoh namun aku tak pernah menyesal kerana aku percaya debat melatih banyak perkara yang aku tak dapat dalam sesi kuliah.
Walaupun tidak mengecapi nikmat kemenangan kerana jurang pengalaman dan teknik perdebatan yang jauh berbeza daripada universiti-universiti lain, aku tidak kecewa. Aku tahu, bukan mudah untuk menang dan mereka yang menang itu adalah orang yang layak untuk menang atas usaha mereka yang tidak berbelah bagi dalam arena perdebatan.
Namun bagi kami, berbekalkan usaha yang telah kami lakukan sepanjang setahun ini, Alhamdulillah ada perubahan yang menampakkan hasil. Sekurang-kurangya dalam pertandingan kali ini kami tidak di buli dengan margin kekalahan yang besar dan kami mampu untuk memberikan persaingan kepada universiti-universiti lain. Mungkin bukan rezeki aku untuk melihat perubahan yang besar dalam Kelab Debat UMK sementara aku masih belajar di sini. InsyaALLAH, junior akan meneruskan perjuangan ini untuk mendapatkan kejayaan buat UMK selangkah demi selangkah.
Aku percaya, kejayaan itu akan kami miliki. ALLAH Maha Adil. Apabila kami sudah layak InsyaALLAH kemenangan milik kami. Kami sedar, perjalanan untuk berjaya itu masih jauh. Banyak lagi yang kami perlu pelajari dan baiki.
Semoga ALLAH menemani perjalanan kami dalam usaha untuk mengubah kepada keadaan yang lebih baik. Niat ini akan cacat tanpa keredhaanNYA.
Semoga DIA redha dengan usaha kami.
Amin.
********
Selamat menyambut hari lahir buat teman seperjuangan dalam arena perdebatan, saudara Arieff Shukri.
Sebagai seorang perempuan, aku adalah yang paling emosional dalam pertandingan. Aku sering di marahi oleh Arieff dan Najmi kerana gagal mengawal emosi dan melenting dalam waktu perbincangan konsep 30 minit sedangkan perkara kecil je yang aku risaukan.
Jadi, aku tersangat berterima kasih kat Arieff sebab selalu buat aku tenang dan yakinkan aku bila perasaan takut, hilang daya fokus, "aku tak boleh buat ini" dan "matilah aku" datang.
Terima kasih Arieff kerana percaya pada aku sedangkan aku pun kadang-kadang hilang percaya pada diri sendiri.
Semoga ALLAH pelihara kau selalu dalam rahmatNYA.
Amin :)


No comments:
Post a Comment