Aku terkejut dan terkesima sebentar.
********
Aku masih ingat bagaimana aku bertemu dan berkenalan dengan Bai. Saat sedang bersedia untuk pulang ke UMK setelah tamatnya Pertandingan Debat DiRaja 2010 di UTHM, Johor dia datang menghampiri bas universiti kami dan menegur Arieff. Bertanyakan jika sekiranya dia boleh serba sedikit membantu Kelab Debat UMK memandangkan dia akan membuat latihan praktikalnya di sekitar Kota Bharu berdekatan dengan UMK. Arieff tidak boleh memberi jawapan lalu di panggilnya aku untuk turun dan berbincang bersama. Kata sepakat di ambil. Kami akan menghubungi Bai setelah berbincang dengan Mus dan mereka yang ada dalam kelab juga ketika itu.
Akhirnya setelah beberapa lama berbincang kami bersetuju. Itu pun masih ragu-ragu lagi dengan kewibawaan Bai dan masalah kewangan untuk dia tapi Bai tak harapkan semua tu. Dia memang ikhlas datang untuk mengajar kami. Maka belajarlah kami dengan Bai. Daripada asas debat iaitu teknik membina konsep, membuat hujah, membidas lawan, membuat pertikaian, keyakinan dalam persembahan dan sebagainya, segala macam ilmu cuba untuk di curahkan sepenuhnya kepada kami. Dia tak pernah bosan malah dia yang lebih bersemangat mencari bahan untuk berdebat daripada kami. Dia sememangnya layak melatih dan kerana itulah ALLAH hantar dia untuk kami.
Jika Bai ada masa kami pergi bertanding, dia yang akan bertanya kepada juri yang mengadili kami tentang kekurangan dan masalah yang perlu kami perbaiki sekiranya dia tidak sempat melihat kami berdebat. Konflik-konflik yang ada dalam kelab pun Bai yang tolong beri pendapat. Memberi beberapa cadangan yang kami tak pernah terfikir. Bai tahu semua masalah kami dan kami juga tidak kekok bercerita kepada Bai kerana bagi Bai, tiada apa yang patut di sorok daripada pengetahuan dia. Kami sama-sama kongsi masalah dan selesaikan.
Banyak jasa Bai tolong kami untuk menggerakkan Kelab Debat UMK ini. Tak lupa juga sokongan daripada orang-orang HEP. Bersyukur, biarlah orang lain tak nampak tapi kami tahu di mana potensi kami untuk menaikkan kelab ini.
********
Tiba-tiba Bai terpaksa bergegas pulang dalam tempoh latihan persediaan ke Pertandingan Debat DiRaja 2011 di USM, Pulau Pinang nanti. Tidak boleh di tangguh. Ini soal masa depan dia. Pulang mendaftar dan bekerja untuk menjadi guru sandaran. Besar kemungkinan akan diserapkan terus sebagai guru tetap sekiranya berpeluang.
Bai pun seakan kecewa dan sedih kerana kalau nak di ikutkan, pertandingan inilah yang dinanti-nantikan oleh Bai. Di anggap sebagai perhitungan untuk melihat perubahan terhadap prestasi kami dalam arena debat. Namun, bukan rezeki dia. ALLAH telah merancang dengan lebih teratur, menduga dia dengan memberi ganjaran dalam saat genting seperti ini.
Aku pula?
Aku sedih. Banyak lagi yang belum aku pelajari. Walaupun Bai cakap kami dah cover banyak perkara tapi sebenarnya banyak lagi yang tertinggal dan tidak sempat dicapai.
Aku takut. Kekuatan bagai ditarik. Seawal perancangan beliau akan bersama kami sehingga tamat pertandingan tapi benarlah, kita hanya merancang tapi ALLAH-lah sebenar-benar perancang. Ada sesuatu yang di simpan oleh-NYA yang tidak kami ketahui.
Aku celaru. Risau akan bertemu dengan pasukan yang jauh lebih hebat. Bertembung dengan universiti-universiti yang lebih lama telah mencipta nama sedangkan kami? Baru mahu bertatih dalam arena perdebatan. Masih tidak dikenali dan mungkin di pandang enteng universiti-universiti lain.
Kalau universiti lain ada alumni debat mereka yang terkenal dan boleh di banggakan, kami tidak punya sesiapa. Kami masih belum punya alumni debat yang dapat membantu dan memberi sokongan sepanjang pertandingan nanti. Juga, yang dapat memberikan idea untuk di bawa dalam dewan persidangan.
Mungkin ALLAH mahu kami lebih berdikari. Mungkin. Sebab aku pernah terfikir, sebelum ini memang kami terlalu bergantung harap dengan beliau. Bilakah kami akan berdikari? Dan persediaan untuk ke Debat DiRaja ini aku akui, aku sangat bergantung harap dengan beliau untuk membawa kami jauh.
Walaupun sasaran kami bukan ke pentas akhir tapi meletakkan pasukan kami dalam kelompok pertengahan pun sudah cukup baik memandangkan tahun-tahun yang sebelumnya kami berada dalam kelompok yang tercorot. Kejayaan bukan di ukur daripada berapa banyak pengiktirafan yang kami terima buat masa ini tetapi berdasarkan prestasi semasa dan perubahan positif yang berlaku dalam pertandingan yang kami sertai.
Niat aku, aku mahu didik junior nanti menjadi pendebat yang rendah hati dan belajar daripada bawah supaya mereka tahu betapa sukarnya membina dan menaikkan sesebuah kelab. Berapa banyak pengorbanan yang perlu dilakukan dan jangan sesekali berlagak mahu menjadi diva kerana bukan mudah nak menang. Kami belum menang tapi kami akan berusaha untuk menang. Usaha itulah yang akan membawa kepada perubahan positif dalam kelab nanti.
InsyaALLAH, aku akan berusaha demi kebaikan pasukan aku dan junior. Ini adalah satu harapan juga satu impian apabila aku jadi alumni debat nanti. Aku memang sudah tanam cita-cita ini. Aku mahu datang kembali untuk berkongsi pengalaman dan memberi sokongan penuh kepada junior Kelab Debat UMK beberapa tahun akan datang.
Semoga aku terus diberi kekuatan oleh ALLAH Yang Maha Penyayang.
Amin.

No comments:
Post a Comment